web widgets

Tuesday, July 23, 2013

TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT SEKOLAH KEBANGSAAN PENDIDIKAN KHAS .

Pertandingan kanak-kanak pekak, bisu yang pertama di dunia

Selalunya ketika pertandingan tilawah al-Quran, orang ramai akan tertumpu dan terpukau dengan suara merdu serta nyaring qari atau qariah ketika mengalunkan ayat suci al-Quran yang begitu mengasyikkan.
Bagaimanapun, situasi agak pelik apabila ada musabaqah al-Quran yang dianjurkan tanpa kedengaran gema kelunakan suara qari atau qariah tetapi suasana tilawah itu tetap berjalan seperti biasa.

Musabaqah ini juga diadakan bagi membuka mata pelbagai pihak khususnya masyarakat akan keperluan golongan ini terhadap pendidikan agama pada usia muda." Dr Mohd Yaakub@Zulkifli Mohd Yusoff, Pengarah CQR

Inilah yang berlaku apabila ketika tilawah al- Quran yang disertai orang kelainan upaya (OKU) khususnya yang pekak dan bisu ketika menyertai tilawah al-Quran Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) selama dua hari, di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis itu dihadiri 300 kanak-kanak pekak dari 19 SKPK seluruh negara yang menampilkan 'keistimewaan' mereka bertanding sama seperti orang lengkap sifat dan pancaindera dalam tilawah al-Quran menggunakan Kaedah Fakih.

Pertandingan anjuran Pusat Penyelidikan Al-Quran (Centre of Quranic Research) (CQR) Universiti Malaya itu diadakan dengan kerjasama Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH) sangat unik kerana ia juga pertama kali tilawah seumpamanya dianjur di dunia.

Istimewanya tilawah ini kerana berlangsung dalam suasana yang senyap sunyi dengan mata penonton terpaku melihat gerak tangan peserta tilawah di depan juri membaca al-Quran dengan menggunakan bahasa isyarat.
Mungkin kita agak biasa bagaimana OKU pekak dan bisu berkomunikasi menggunakan ‘lenggok tangan’, namun pernahkah kita terfikir atau membayangkan bagai mana kanak-kanak pekak ini menggunakan bahasa isyarat untuk mengaji atau bertadarus Al-Quran?

Juara Tilawah dari sekolah kami


Ikut kelas Fakih

Sedih dan teruja apabila melihat kekurangan mereka tetapi mempunyai semangat luar biasa berupaya membaca dan menghayati al-Quran seperti manusia normal.
Kanak-kanak itu menunjukkan semangat dan kesungguhan yang hebat mampu melakukan dengan baik menggunakan bahasa isyarat.

Sebelum itu, kanak-kanak terbabit mengharungi pelbagai rintangan termasuk mendapat bantuan guru penterjemah sebelum layak menyertai tilawah berkenaan. Ternyata usaha mereka tidak sia-sia.

Johan Qari pertandingan SKPK, Nor Syahdan Muhammad, berkata belajar membaca al-Quran menggunakan kaedah Fakih bukan mudah seperti mempelajari bahasa isyarat biasa.

Pelajar Tingkatan Dua SKPK Besut itu berkata, kaedah berkenaan lebih sukar kerana memerlukan perhatian, keyakinan, ketekunan malah perlu mengingati di samping menghafal setiap susun kata dalam al-Quran dengan betul dan tepat supaya tidak lari daripada maksudnya.

“Pembelajaran ini perlu melalui peringkat satu hingga enam. Mula-mula, saya belajar mengenal huruf pada peringkat pertama tapi tertinggal peringkat kedua. Saya berjaya meneruskan peringkat seterusnya sehingga ke tahap enam secara teratur selama tiga tahun menerusi kaedah Fakih ini,” katanya yang dibantu gurunya, Ustazah Zamzarina Mohamed, ketika ditemui selepas majlis tilawah berkenaan.

Naib johan qari pula dimenangi Ahmad Hanfi Abdullah (SKPK Taiping) dan ketiga, Muhammad Firdaus Suardi (SKPK Selangor).

Manakala Johan qariah dimenangi pelajar Tingkatan Satu dari SKPK Selangor, Amirah Syuhada Aruddin; naib johan qariah Aminah Abdul Rajak (SKPK Sibu) dan ketiga Nur Syaza Syazwana Mohd Shahrin (SKPK Taiping).

Juara qari dan qariah memenangi RM300, trofi dan senaskah al-Quran; naib juara (RM200) dan ketiga (RM100). Semua peserta masing-masing membawa pulang trofi, senaskah, hadiah sampingan buku dan majalah sumbangan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) serta hamper.

Majlis penutup turut dihadiri Pengarah CQR, Prof Datuk Dr Mohd Yaakub@Zulkifli Mohd Yusoff; Pengerusi Yayasan FAQEH, Mohd Zaini Mat Abas; dan Pengarah Program MTQ, Dr Nazean Jomhari.

Keunikan tilawah

Sementara itu, Amirah Syuhada berkata beliau meluangkan masa setiap hari bagi mempelajari ilmu Fakih sehingga betul-betul faham.

Katanya, beliau akan mengikuti kelas itu sebaik selesai sekolah pagi walaupun penat kerana tiada jadual tetap untuk kelas berkenaan.

“Saya mengambil masa tiga tahun untuk mempelajari kaedah ini. Ia agak susah kerana perlu menterjemah bahasa al-Quran kepada bahasa isyarat sambil tidak mengabaikan hukum tajuid, taranum dan sebagainya.

“Mengingatinya juga bukan mudah. Kena rajin dan berusaha keras setiap hari supaya amalan mengaji boleh dijadikan satu kebiasaan dalam rutin harian,” katanya.



Hapuskan tanggapan OKU tidak perlu pendidikan al-Quran

Menyedari pentingnya bahasa isyarat sebagai landasan untuk orang kelainan upaya (OKU) berkomunikasi, CQR Universiti Malaya bersama Yayasan FAQEH bagi menganjurkan pertandingan Tilawah al-Quran (MTQ) Murid Pekak 2013.

Pertandingan julung kalinya diadakan di dunia itu bertujuan mendekatkan golongan yang mengalami masalah pendengaran dengan al-Quran dan melenyapkan tanggapan masyarakat anak istimewa berkenaan tidak perlu diberi pendidikan al-Quran.

MTQ juga antara projek Rintis FAQEH yang memberi peluang kepada kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran, autisme dan sindrom down, mempelajari serta membudayakan al-Quran.

Pengarah CQR, Prof Datuk Dr Mohd Yaakub@Zulkifli Mohd Yusoff, berkata kanak-kanak terbabit akan mendalami konsep ibadat ilmu al-Quran menerusi konsep hibrid iaitu mengikut kapasiti, kebolehan, kelebihan, kekurangan dan kemampuan mereka.

“Di bawah projek ini kelas al-Quran dan ibadat harian serta mingguan dijalankan supaya anak-anak istimewa ini berpeluang menghadiri ‘kelas mengaji’ seperti rakan sebaya mereka yang tipikal.

“Musabaqah ini juga diadakan bagi membuka mata pelbagai pihak khususnya masyarakat akan keperluan golongan ini terhadap pendidikan agama pada usia muda," katanya.

 
Antara guru yang terlibat


 Objektif MTQ

Sementara itu, Dr Nazean yang juga pengasas kaedah Fakih itu berkata, orang pekak sama sebenarnya saja seperti orang biasa.

“Apa yang pasti ialah mukjizat Al-Quran ini bukan sekadar untuk dinikmati orang normal saja, malah ia boleh dinikmati individu istimewa, seperti golongan pekak,” katanya.

Pengerusi Yayasan FAQEH, Mohd Zaini Mat Abas, berkata usaha mengetengahkan mereka menerusi MTQ diharapkan dapat melenyapkan tanggapan anak istimewa harus dipinggirkan daripada pendidikan al-Quran.

“Yayasan mengatur strategi membangunkan generasi Qurani dalam kalangan anak istimewa dan mengharapkan sokongan pelbagai pihak untuk menjayakannya,” katanya.

SUMBER : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Tilawahtanpasuara/Article/

Nasyid bahasa isyarat tangan.   
TAHNIAH BUAT SEMUA YANG TERLIBAT .............

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...