web widgets

Sunday, March 24, 2013

BERITA : MAIDAM KELUAR GLOSARI ISLAM KHAS UNTUK ORANG PEKAK

 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan mengeluarkan sebuah buku berbentuk Glosari Islam khusus untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) terutama bagi orang pekak.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Maidam Datuk Mohd Rozali Saleh berkata Glosari Islam itu penting bagi orang pekak mempelajari, mendalami dan mengetahui makna perkataan tertentu dalam ajaran Islam dengan lebih mendalam.

Beliau berkata Glosari Islam itu diterbitkan kerana Maidam berpendapat selama ini golongan OKU agak terlepas pandang dan sukar mendapatkan bantuan untuk mereka mendalami agama Islam.

"Selain itu kita juga tidak mempunyai kebolehan untuk menerangkan kepada mereka melalui bahasa isyarat kerana tidak ramai ustaz yang mengetahui bahasa (isyarat) itu," katanya kepada pemberita selepas menutup Kem Ibadah OKU di Kuala Terengganu, semalam.

Mohd Rozali berkata ketika ini, Maidam sedang merangka ke arah pengeluaran Glosari itu dengan mendapatkan kerjasama beberapa pihak seperti Persatuan Orang Cacat Terengganu, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi berkaitan.

Katanya Maidam juga akan mendapatkan pandangan beberapa golongan selain membuat lawatan sama ada di dalam ataupun luar negara seperti Mesir dan Arab Saudi dalam usaha mandapatkan maklumat lebih terperinci bagi pengeluaran Glosari berkenaan.

"Kami tidak dapat menjangka bilakah Glosari itu dapat dikeluarkan kerana sekarang kami bergerak ke arah pengeluarannya. Namun jika semuanya berjalan lancar, mungkin tahun depan ia sudah boleh diterbitkan," katanya.

Mohd Rozali berkata sebelum ini sudah banyak Glosari biasa dikeluarkan, namun dalam bentuk agama Islam masih belum ada.

"Kini hanya Masjid Al-Abarar di Bukit Tok Beng Seberang Takir yang ada terjemahan bahasa isyarat ketika khatib membaca khutbah Jumaat... jadi dengan penerbitan Glosari itu diharap ramai lagi tenaga pengajar di Maidam mampu berbahasa isyarat untuk mengajar OKU," katanya.

http://teganuku.blogspot.com/2013/03/maidam-keluar-glosari-islam-khas-untuk.html

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...