Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan mengeluarkan
sebuah buku berbentuk Glosari Islam khusus untuk golongan Orang Kurang
Upaya (OKU) terutama bagi orang pekak.
Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Maidam Datuk Mohd Rozali Saleh berkata
Glosari Islam itu penting bagi orang pekak mempelajari, mendalami dan
mengetahui makna perkataan tertentu dalam ajaran Islam dengan lebih
mendalam.
Beliau berkata Glosari Islam itu diterbitkan kerana
Maidam berpendapat selama ini golongan OKU agak terlepas pandang dan
sukar mendapatkan bantuan untuk mereka mendalami agama Islam.
"Selain itu kita juga tidak mempunyai kebolehan untuk menerangkan kepada
mereka melalui bahasa isyarat kerana tidak ramai ustaz yang mengetahui
bahasa (isyarat) itu," katanya kepada pemberita selepas menutup Kem
Ibadah OKU di Kuala Terengganu, semalam.
Mohd Rozali berkata ketika ini, Maidam sedang merangka ke arah
pengeluaran Glosari itu dengan mendapatkan kerjasama beberapa pihak
seperti Persatuan Orang Cacat Terengganu, Jabatan Kebajikan Masyarakat
dan agensi berkaitan.
Katanya Maidam juga akan mendapatkan pandangan beberapa golongan selain
membuat lawatan sama ada di dalam ataupun luar negara seperti Mesir dan
Arab Saudi dalam usaha mandapatkan maklumat lebih terperinci bagi
pengeluaran Glosari berkenaan.
"Kami tidak dapat menjangka bilakah Glosari itu dapat dikeluarkan kerana
sekarang kami bergerak ke arah pengeluarannya. Namun jika semuanya
berjalan lancar, mungkin tahun depan ia sudah boleh diterbitkan,"
katanya.
Mohd Rozali berkata sebelum ini sudah banyak Glosari biasa dikeluarkan, namun dalam bentuk agama Islam masih belum ada.
"Kini hanya Masjid Al-Abarar di Bukit Tok Beng Seberang Takir yang ada
terjemahan bahasa isyarat ketika khatib membaca khutbah Jumaat... jadi
dengan penerbitan Glosari itu diharap ramai lagi tenaga pengajar di
Maidam mampu berbahasa isyarat untuk mengajar OKU," katanya.
http://teganuku.blogspot.com/2013/03/maidam-keluar-glosari-islam-khas-untuk.html
No comments:
Post a Comment